Sunday 3 March 2013

Hilang bumbung sekelip mata

rumah musnah teruk
Keadaan sebuah rumah yang musnah teruk di bahagian bumbung.
 
KUBANG PASU – "Segalanya berlaku hanya dengan sekelip mata." Itulah ungkapan seorang penduduk yang menjadi mangsa ribut apabila bumbung rumahnya diterbangkan angin, di Kampung Permatang Keriang, dekat Air Hitam, baru-baru ini.
Berikutan kejadian kira-kira 5.45 petang itu, keluarga Abu Seman Bakar, 34, terpaksa berbumbungkan langit apabila bumbung rumahnya 'hilang' dengan tiba-tiba.

Menurutnya, ketika itu dia sedang membaiki kereta, manakala keadaan angin ketika itu terlalu kuat, namun dia tidak menyangka ia akan menerbangkan bumbung rumahnya.

“Kebetulan pada waktu itu ibu, adik serta kakak tinggal di dalam rumah. Saya pula sempat mengalihkan kereta sebelum berlaku kejadian.

“Alhamdulillah, saya bersyukur tiada berlaku apa-apa terhadap keluarga kerana mereka bergegas keluar rumah sebaik bumbung diterbangkan,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, dianggarkan kira-kira empat rumah sekitarnya turut musnah akibat angin kencang.

Saksi, Suhaimi Napi, 37, berkata, ketika kejadian, dia sedang minum kopi berhampiran kawasan berkenaan dan mendapati lingkaran seakan-akan puting beliung melalui kawasan tersebut.

Menurutnya, sebelum itu dia tidak pernah melihat keadaan sedemikian.

“Saya tidak menyangka angin kuat ini memusnahkan sebahagian rumah penduduk kampung di sini berikutan keadaan sekitar jam 3 sehingga 4 petang ketika itu sangat panas.

“Waktu kejadian, hujan tidak begitu lebat namun angin kuat lebih kurang 15 minit ini meranapkan beberapa rumah sekitar kawasan ini,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Permatang Keriang, Hasbullah Din berkata, pihaknya mengenal pasti kehadiran angin kuat tersebut memusnahkan 17 rumah di sekitar Pida 2 ½, Pida 3 dan Kampung Permatang Keriang.

Menurutnya, ketika kejadian, dia yang sedang berehat di rumah tidak melihat sebarang tanda bahawa akan berlakunya ribut di kawasan berkenaan sehingga menerima panggilan penduduk mengenai kejadian itu.

“Sebaik menerima panggilan, saya bergegas melawat penduduk yang terlibat dan mendapati keadaan rumah mereka musnah akibat angin kencang.

“Keadaan ini pernah berlaku sebelum ini, namun tidak melibatkan sebahagian besar penduduk sekitar. Sebaik selesai memantau keadaan penduduk terlibat laporan polis segera dilakukan,” katanya.

Menurutnya, pihaknya bertindak akan membuat senarai mengenai penduduk terlibat.

“Jumlah kerugian akan diketengahkan kepada pihak berkenaan untuk dibantu dan keadaan mereka akan dipantau dari semasa ke semasa sehingga ia diselesaikan,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Kubang Pasu, Mohd Shabbri Othman berkata, pihaknya sudah menerima laporan mengenai kejadian ribut itu.

“Bantuan segera akan diagihkan kepada penduduk sebelum bantuan selanjutnya akan diberikan untuk meringankan beban mereka," katanya.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts