Monday 11 February 2013

T 28 : Kereta Kebal Gergasi Dengan 4 Runut


Kereta kebal Overlord ialah kereta kebal kegemaran kami dari permainan komputer Command and Conquer Generals. Ianya kereta kebal gergasi China dengan 4 runut. Kami tak tahu bahawa semasa Perang Dunia Kedua dahulu terdapat kereta kebal gergasi seakan-akan Overlord.
Kereta kebal ini ialah T-28 yang dihasilkan oleh Amerika Syarikat. Ia direka bagi menentang pemusnah kereta kebal Jagdpanther yang milik tentera Nazi. Kereta kebal M-4 Sherman yang digunakan pada waktu ini tidak mempunyai ketebalan armor yang secukupnya bagi menentang meriam 88mm Jagdpanther yang mempunyai kuasa pemusnah yang menakutkan.
T-28 dibina pada tahun 1945. Dua buah prototaip dihasilkan dan setiap satunya seberat 86.2 tan. Oleh sebab itu konfigurasi 2 runut yang biasanya digunakan pada kereta kebal tidak cukup untuk menyebarkan berat T-28 ke permukaan tanah. Oleh itu 4 runut digunakan bagi memastikan kereta kebal ini tidak akan tenggelam. T-28 diperkasakan dengan meriam 105 mm dan  enjin V-6 500 kuasa kuda yang mampu menggerakkannya pada kelajuan 19 kilometer sejam. Ketebalan armor pada bahagian depan ialah 300 mm , 130 mm pada bahagian bawah dan 64 mm pada bahagian tepi. Kerana armor yang tebal meriam T-28 tidak diletakkan di dalam rudal berputar. Untuk membidik keseluruhan kereta kebal harus digerakkan ke arah musuh. 
Antara keunikan lain T-28 ialah dua runut luarannya boleh ditanggalkan dan dilipat. Ini membolehkan T-28 melalui jalan yang sempit. Runut luar ini kemudian boleh ditarik di belakang kereta kebal.
Projek T-28 dihentikan pada tahun 1947 kerana didapati tidak praktikal untuk digunakan di medan perang. Pada tahun sebelumnya salah sebuah prototaip yang dihasilkan terbakar dan musnah. Satu-satunya kereta kenal T-28 yang masih wujud kini boleh dilihat di Muzium Armor dan Kereta Kebal Patton di Kentucky

No comments:

Post a Comment

Popular Posts