Monday 11 February 2013

Kesal sikap pengusaha kuari


Kesal sikap pengusaha kuari
Ibrahim ketika bersama penduduk bagi membincangkan permasalahan berkaitan yang berlaku di sekitar kampung tersebut.
 
WANG TEPUS - Tindakan tidak bertanggungjawab oleh segelintir pemandu lori yang menjalankan operasi mengangkut pasir tanpa mengikut peraturan di jalan Wang Tepus-Tanah Merah sekitar kampung dekat sini, akan menyebabkan mereka berhadapan hukuman berat.
Hal ini susulan terdapat banyak kemalangan berlaku di laluan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Ibrahim Yusof, berkata, pihaknya akan menjalankan pemeriksaan terhadap semua kenderaan berkaitan untuk kesalahan dibawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Menurutnya, pihaknya turut mengenal pasti kebanyakan kemalangan yang berlaku melibatkan kenderaan berat terbabit sehingga mengakibatkan kematian terutamanya kepada penduduk sekitar.

“Kita akan sarankan kepada pemandu lori yang melalui jalan itu supaya mementingkan soal keselamatan penduduk, bukannya untuk mengejar keuntungan dan masa semata-mata.

“Kita juga akan mengatur perjumpaan bersama pengusaha kuari pasir di sekitar kawasan ini supaya mematuhi peraturan sepertimana yang diingini penduduk,” katanya dalam majlis minum pagi bersama penduduk berhubung isu berkenaan, kelmarin.

Ibrahim berkata, program High Profile Policing yang diadakan itu bertujuan untuk memberikan pendekatan baru terhadap masyarakat memandangkan kebanyakan mereka dilihat segan untuk mengadakan perbincangan di balai polis.

“Bersempena musim cuti Tahun Baru Cina, Operasi Selamat akan diadakan dan pelajar di sekitar daerah ini dinasihatkan supaya memaklumkan kepada polis sepanjang mereka bercuti untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.

“Sekiranya mereka tidak membawa pulang kenderaan, ia perlu dikunci sebaik mungkin kerana bimbang berlakunya kecurian dan perlu juga memaklumkan kepada anggota yang membuat rondaan maklumat mengenai nombor untuk dihubungi serta alamat mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas berhubung keselamatan kebanyakan pelajar dari luar kawasan di sini, yang pulang ke kampung untuk bercuti sempena perayaan tidak lama lagi.

Sesiapa yang akan pulang ke kampung sempena cuti Tahun Baru Cina boleh menghubungi talian 04-9176999 atau menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) ke talian Rakan Cop.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts