Wednesday 19 June 2013

Memahami turun naik harga minyak mentah





BERBANDING komoditi lain, pergerakan harga minyak mentah sering mendapat perhatian rakyat. Pergerakan harga minyak mentah dalam pasaran global mempunyai siknifikan tersendiri bilamana kenaikan harga komoditi ini akan memberi kesan kepada kenaikan harga barang-barang seterusnya meningkatkan kos hidup rakyat.

Apa yang perlu kita tahu sebagai orang awam berkaitan harga minyak mentah ini?


Seberapa dapat saya akan permudahkan perbincangan ini kerana sebagai rakyat maklumat-maklumat sebegini amat perlu kita fahami dan kuasai. Turun atau naiknya harga komoditi termasuk minyak mentah tidak banyak bergantung kepada kerajaan yang memerintah. Ia amat berkait rapat dengan pelbagai karenah dalam pasaran.


Mari kita ambil suatu katagori minyak mentah iaitu jenis Brent untuk kita cuba fahami pelbagai trend harga dan manipulasi pasaran yang boleh berlaku di peringkat global.


Pada awal 2013, minyak mentah jenis Brent telah mula diniagakan pada paras USD 93.16 setong. Pada tahun 2012, Brent telah mencapai harga tertinggi USD127.08 dalam bulan Mac sebelum menjunam pada paras terendahnya USD77.5 dalam tahun tersebut.


Menariknya, minggu ini, Brent telah mencecah harga tertinggi untuk 2013 iaitu USD98.91 selepas mencecah harga terendahnya untuk 2013 pada April lalu iaitu pada paras USD85.89 setong.


Persoalannya, apakah jangkaan-jangkaan yang boleh dibuat berkaitan paras harga tersebut? Secara umumnya, pemain pasaran mengambilkira dua petunjuk utama iaitu petunjuk asasi  termasuk pelbagai jenis sentiment yang berlegar dalam pasaran atau keduanya petunjuk teknikal yang berasaskan kiraan matematik yang cukup kompleks.


Pemain pasaran yang menjadikan petunjuk teknikal sebagai panduan, ia tidak akan menghiraukan sebarang setimen yang berlegar dalam pasaran.


Bagi 2013, garis psikologi yang digunakan dalam petunjuk teknikal bagi minyak jenis Brent ialah USD98.6. Paras psikologi ini menjadi antara penentu utama kepada trend penurunan atau kenaikan harga dalam pasaran.


Dari paras psikologi inilah dua harga akan diperolehi iaitu paras harga sokongan iaitu harga terendah yang mungkin dicecah atau paras tekanan iaitu harga tertinggi yang boleh dicapai.


Untuk 2013, paras sokongan bagi Brent diletakkan pada USD70.13 manakala paras harga tekanan ialah USD119.71 setong. Dua paras ini boleh berubah dalam riaksi-riaksi tertentu dan ianya telah sedia maklum kepada setiap pemain pasaran yang disebut pedagang lantaian ataupun (floor trader).


Dengan pengenalan ringkas ini, apa yang perlu kita tahu bahawa kumpulan pedagang yang disebut floor trader bukanlah mereka yang benar-benar berdagang untuk mendapatkan minyak mentah secara nyata. Mereka adalah mereka yang terdiri dari kumpulan pedagang yang berada dalam pasaran dengan tujuan manipulasi semata-mata. Mereka berurusniaga untuk meraih untung dalam keadaan harga meningkat atau menurun.


Komoditi yang diniagakan di pasaran hadapan pula membolehkan paras harga dijangka lebih awal bagi membolehkan pelbagai instrument pasaran direka sebagai produk kewangan.


Antara pasaran hadapan utama dunia pada hari ini termasuklah SFE Sydney, LIFFE,IPE London, TIFFE Tokyo, NYBOT, NYMEX New York, KSE Seoul, Mx Montreal, HKFE Hong Kong, CBOT, CME Chicago, SGX-DT Singapore, KCBT Kansas City, Eurex West. Europe, dan WCE Winnipeg.


Dalam suasana inilah adanya satu kaedah yang dikenali “hedging” iaitu menetapkan suatu paras harga bagi tempoh tertentu. Dalam amalan hedging, paras harga minyak mentah boleh diikat untuk suatu tempoh tanpa dipengaruhi penurunan atau peningkatan harga di peringkat global.


Sebagai sebuah negara pengeksport komoditi ini, Malaysia sebenarnya mempunyai banyak kelebihan. Selain kelebihan kita sebagai pengeksport, seharusnya kita memanfaatkan setiap ciptaan liberalisasi kewangan yang ada bagi faedah rakyat seluruhnya. – 9 Sya’ban 1434H.


* Penulis adalah seorang pengamal undang-undang dan mendalami pasaran komoditi.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts