Sunday 13 March 2016

Naik 50 kereta api dalam 15 hari



KETIKA musim sejuk di Itali, seorang anak muda terpaksa transit selama lima jam di stesen kereta api Grosseto sebelum menyambung perjalanan ke destinasi seterusnya.
Dia yang tiba sejak pukul 12 tengah malam berasa gerun apabila mendapati dirinya bersendirian di tempat asing itu.
Gagal mendapatkan bantuan rakyat tempatan untuk mencari tempat berehat, pada suhu yang hampir mencecah 0 darjah Celsius dia membuat keputusan untuk menyorokkan bagasinya di sebuah kawasan semak.
Dia kemudiannya menyertai kumpulan gelandangan yang tidur di sekitar kawasan stesen kereta api tersebut.
Pengalaman itu merupakan antara kenangan yang tidak dapat dilupakan oleh pengembara beg galas, Meor Farid Asyradi Meor Zahidi, 26, semasa kembaranya merentasi benua Eropah dengan menaiki kereta api.
“Walaupun kepenatan, saya tabahkan diri menanti ketibaan kereta api seterusnya. Dalam keadaan sedemikian, lima jam di Itali umpama lima hari lamanya.
“Ia merupakan pengalaman yang banyak mengajar saya untuk sentiasa bersedia dengan segala kemungkinan. Bagi saya cukuplah saya selamat sepanjang bersendirian di negara asing itu,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! di Rumah Universiti, Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur baru-baru ini.
Anak jati Sungai Siput, Perak itu juga merupakan penulis buku Travelog Mr. Traveller, sebuah naskhah perkongsian kembaranya di 15 buah negara dengan menaiki 50 kereta api selama 15 hari.
Dilahirkan pada 11 Mei 1990, minat mengembara pelajar Sarjana Sains Politik Islam juga di UM itu mula berputik selepas terlibat dalam program pertukaran pelajar di dua buah negara iaitu Mesir dan Korea Selatan.
Rentetan itu, dia yang juga merupakan seorang guru tuisyen dan moderator sambilan akan sentiasa mencari ruang dan peluang untuk pergi melancong beg galas secara sendiri atau berkumpulan setiap kali cuti semester.
Kembaranya di benua Eropah dua tahun lalu merupakan perjalanan yang banyak memberi pengalaman bermakna sambil meluaskan pengetahuan tentang negara orang.

Buku Travelog Mr. Traveller telah dijual sebanyak 12,000 unit.


Seperti pengembara beg galas lain, Meor Farid Asyradi memulakan minatnya dengan mengembara di negara-negara jiran bagi menimba pengalaman berada di negara berbeza adat, bahasa dan kehidupan sosial sebelum merentas benua lain.
Markas
Putera kepada pasangan Meor Zahidi Meor Muhd. Tahir, 56, dan Masturah Meor Adnan, 55, itu memulakan kembaranya selama dua bulan di benua Eropah dengan menjadikan Sweden sebagai pusat utama dalam rancangan perjalanannya.
“Sweden umpama markas untuk kembara saya di Eropah. Di sana saya mempunyai seorang rakan. Kami berkenalan ketika sama-sama menguruskan program Sveriges Muslimska Akademiker (SMA-APIUM Summer Camp) yang diadakan di Akademi Pengajian Islam UM.
“Sebelum memulakan perjalanan menaiki kereta melalui 15 buah negara, saya meluangkan masa terlebih dahulu bersama rakan-rakan di Sweden dan melancong ke Britain selama seminggu,” ujarnya.
Tambah anak kedua daripada lima beradik itu, sebelum memulakan langkah untuk mengembara ke benua Eropah dia telah melakukan persiapan awal dengan membuat beberapa rujukan dan perancangan.
Antara persiapan awal Meor Farid Asyradi sebelum melakukan pengembaraan ialah merancang perjalanan, kewangan, mengkaji tentang budaya dan adat resam tempat yang ingin dikunjungi serta menghubungi rakan-rakan di beberapa buah negara di benua Eropah.
Pada masa sama dia turut melakukan beberapa perancangan tambahan sebagai persediaan sekiranya berlaku sebarang perkara yang tidak diduga.
Khatam Quran
Menurutnya, perbelanjaan sepanjang dua bulan dia berada di sana hanya menelan belanja hampir RM7,000 termasuk tiket penerbangan ke Sweden dan tiket perjalanan 15 hari melalui 15 buah negara.

Antara koleksi gambar kenangan yang dirakam oleh Meor Farid Asyradi ketika mengembara di benua Eropah.


Walaupun jumlah itu kedengaran kurang munasabah, Meor Farid Asyradi telah membuktikan sebaliknya. Baginya pengembaraan yang dilakukan lebih untuk mendekatkan diri kepada Sang Pencipta.
Antara kenangan lain yang tidak boleh dilupakan adalah rasa hiba apabila dapat mendengar semula azan Subuh berkumandang ketika merentasi sempadan negara Turki.
“Ia merupakan saat yang menyentuh perasaan apabila setelah hampir sebulan lebih saya tidak mendengar azan dilaungkan dari masjid. Ternyata masih ada syiar Islam yang berkembang di benua Eropah ini.
“Selain mengembara, saya juga meletakkan satu lagi sasaran utama iaitu ingin khatam al-Quran sepanjang dua bulan di Eropah kerana ia merupakan cara terbaik untuk membendung diri daripada terbelenggu maksiat ketika di negara orang,” jelasnya.
Tambah suami kepada Siti Syahidah Mohd. Samsudin, 26, selain itu dia juga tidak boleh melupakan saat getir ketika hampir menjadi mangsa peras ugut ketika berada di Romania. Saat itu Allah benar-benar melindungi dirinya dengan memberikan ilham untuk melepaskan diri.
Semua pengalaman yang dialami olehnya merupakan momen yang sangat berharga buatnya. Dia pada masa sama melihat pengalaman tersebut sebagai ilmu yang boleh memberi manfaat kepada orang lain.
Mahu berkongsi pengalaman dengan orang ramai tentang kembaranya di Eropah, pada April 2015, Meor Farid Asyradi telah menerbitkan buku Travelog Mr. Traveller, 25 Tahun-35 Negara-Niat-Minat dengan modal sendiri.
Tidak berniat untuk memperdagangkan pengalamannya, tanpa disangka tindakan menerbitkan buku travelog tersebut mendapat sambutan menggalakkan daripada pembaca.
“Pada awalnya saya tidak merancang untuk menerbitkan buku, namun akhirnya saya membuat keputusan untuk melakukan sedemikian setelah memikirkan ia boleh menjadi jalan dakwah saya menyampaikan ilmu kepada masyarakat.
“Ia merupakan satu langkah berani dan saya mengambil masa selama tiga minggu untuk menggarap kandungan dan proses mencetak mengambil masa lebih kurang dua minggu,” ujarnya.
Berani
Setelah sembilan bulan berada di pasaran, buku terbitan Meor Farid Asyradi telah terjual sebanyak 12,000 unit.

Dengan sekeping tiket, Meor Farid Asyradi mengembara ke 15 negara dengan menaiki 50 buah kereta api selama 15 hari.


Kini buku yang merupakan cetakan kelima itu masih berada di pasaran serta telah dinobatkan sebagai salah satu antara 15 buku terlaris 2015 di sebuah kedai buku terkemuka Malaysia.
Bagi Meor Farid Asyradi, segala pencapaian yang dikecapi merupakan rezeki kurniaan Ilahi. Dia yang bercita-cita untuk menjadi pensyarah selepas tamat pengajian sarjana memberitahu, aktiviti melancong dan penglibatan dalam bidang penulisan akan tetap diteruskan.
“Insya-Allah tahun ini saya akan menerbitkan sebuah lagi buku, Travelog Mr. Traveller: The Untold Story yang bakal memuatkan 50 kisah benar sepanjang pengalaman menjadi pengembara beg galas.
“Pada masa sama, saya juga merancang untuk membuka syarikat penerbitan sendiri bagi membantu dan membuka platform buat penulis muda lain memulakan karier dalam bidang penulisan,” jelasnya mengakhiri bicara.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts