Sunday 13 March 2016

Mewarna kini hobi orang dewasa

Jenama-jenama terkenal dalam penghasilan pensel dan krayon warna seperti Stabilo, Staedtler dan Cana d’Ache mendapat permintaan tinggi sehingga 14 peratus berbanding sebelum ini.



Tatkala orang ramai sibuk dengan inovasi gajet-gajet terbaharu, menariknya kewujudan buku-buku mewarna yang direka khas untuk golongan dewasa telah menjadi fenomena masa kini.
Buku mewarna merupakan salah satu cara terbaik untuk menangani tekanan dan lari sebentar daripada dunia teknologi di samping menyerlahkan bakat terpendam masing-masing.
Namun, perkembangan trend tersebut menjadi kemusykilan dan tanda tanya besar kepada pembuat krayon dan pensel warna. Adakah trend itu kekal atau pun akan pudar mengikut peredaran masa?
“Setiap malam saya bermimpi dan memikirkan mengenai krayon,” kata Andreas Martin yang merupakan pengurus kilang pensel warna, Staedtler di Nuremberg, Jerman.
Staedtler pada awalnya merupakan perniagaan keluarga sehinggalah ia menjadi antara jenama terkenal dan mempunyai lebih 2,000 orang pekerja.
“Pensel warna sering mendapat permintaan tinggi dan lazimnya, kami menghasilkannya dalam kuantiti yang sama setiap tahun. Jika ada permintaan lebih, kami masih boleh melakukannya.
“Namun, dengan fenomena sekarang ini, dengan tiba-tiba kami seperti tidak cukup tangan untuk mengeluarkan pensel warna. Sungguh tidak dijangka,” ulasnya.
Fenomena
Di belakangnya, kelihatan sebuah mesin pembuat pensel warna mengeluarkan pensel kuning pada kadar 6,000 unit sejam manakala mesin seterusnya menghasilkan pensel oren.

Seorang pekerja kilang Staedtler di Jerman sedang memeriksa pemprosesan pensel berwarna.


Dalam seksyen lain, pensel dan krayon dalam kepelbagaian warna disusun dan dimasukkan ke dalam kotak, yang setiap satunya mempunyai 20 atau 36 batang.
Bungkusan kotak-kotak tersebut akan dieksport ke Amerika Syarikat (AS), Britain dan Korea Selatan.
Menurut Pengarah Staedtler, Axel Marx, ketiga-tiga negara tersebut merupakan negara utama yang menyaksikan fenomena mewarna bagi golongan dewasa.
“Di AS, sembilan jenis buku mewarna untuk golongan dewasa merupakan antara 20 produk terlaris dijual di Amazon," jelasnya.
“Fenomena tersebut kelihatan mula memasuki dunia Eropah sedikit demi sedikit,” kata Horst Brinkmann yang merupakan ketua pemasaran jenama Stabilo Schwan.
Kesemua jenama terkenal mengorak langkah dalam permainan tersebut. Stabilo telah melancarkan beberapa set krayon dan buku mewarna yang bermotifkan musim bunga.
Jenama Caran d’Ache dari Switzerland pula mengeluarkan beberapa buku mewarna yang berunsur pergunungan Alpine dan landskap musim sejuk.
Sementara itu, Brinkmann menjelaskan, keuntungan yang dicatatkan bagi krayon dan pensel warna Stabilo meningkat lebih 10 peratus. Jenama Staedtler juga tidak kurang hebatnya, ia meningkat sehingga 14 peratus.
“Perkembangan ini sangat menakjubkan walaupun kita berada dalam dunia serba teknologi.
“Namun, ia sebenarnya merisaukan kerana kita tidak tahu sampai bila fenomena ini bertahan.
“Kita perlu fikir tentang kejadian yang mungkin akan berlaku. Hal ini kerana trend tersebut boleh berubah pada bila-bila masa. Jadi, kita kena seimbang dalam proses pengeluaran,” jelas Martin.



Tambahnya, setakat ini, mereka masih mengikuti rutin yang sama. Martin juga memikirkan sama ada untuk menambah mesin-mesin baharu ataupun tidak.
“Jika pasaran mulai turun, kami masih boleh menggunkan mesin-mesin penghasilan pensel dan krayon warna untuk mengeluarkan produk lain,” jelasnya.
Persaing Stabilo dan Staedtler iaitu Caran d’Ache mengambil langkah yang berbeza malah mempumyai harapan tinggi terhadap trend mewarna itu.
“Kami mempertingkatkan pengeluaran produk dan menambah pekerja serta bekerja lebih masa,” kata Presidennya, Carole Hubscher.
Tambahnya, dia begitu yakin bahawa fenomena tersebut tidak akan pudar atau hilang. Jadi, adalah penting untuk pembuat krayon dan pensel warna untuk terus mengeluarkan produk-produk mereka. – AFP


No comments:

Post a Comment

Popular Posts