Saturday 20 February 2016

Nama Faiz Subri kini diiktiraf dunia




MATLAMATNYA memang mahu menjaringkan gol, namun siapa sangka sepakan percuma itu lencongannya cukup menarik menerjah gawang gol Pahang yang mengelirukan penjaga gol, Mohd Nasril Nordin untuk membantu Pulau Pinang menang 4-1 pada aksi Liga Super 2016.

Nama Mohd Faiz Subri kini bukan sahaja jadi bualan penyokong tempatan malah dunia selepasvideo sepakan percumanya itu menjadi viral malah diangkat sesetengah pihak sebagai calon yang akan memenangi Anugerah Puskas 2016, pengiktirafan kepada jaringan paling cantik dalam dunia bola sepak secara tahunan.
Anugerah tersebut yang sebelum ini dimenangi nama-nama besar dunia seperti Cristiano Ronaldo, Neymar, Hamit Altıntop, Zlatan Ibrahimovic dan tidak mustahil akan menjadi milik Mohd Faiz pada 2016 jika dia mendapat undian tinggi sekiranya dicalonkan.
Bagi penyerang berusia 28 tahun ini, satu pengiktirafan tinggi buatnya sebagai seorang pemain bola sepak tempatan selepas jaringan golnya itu mendapat perhatian dunia.
Menurutnya, dia cuba memberikan yang terbaik pada setiap perlawanan mengalas tanggungjawab memburu gol di samping cuba memberikan saingan sengit merebut posisi jentera serangan Pulau Pinang.
“Mungkin latihan berterusan mengambil sepakan percuma pada sesi latihan yang menjadi antara faktor gol menarik tersebut dapat dihasilkan.
“Menjadi penghormatan yang tinggi buat saya apabila jaringan itu dilihat dan disukai penyokong dan pemerhati bola sepak di peringkat antarabangsa,” katanya.
Jaringannya bukan sahaja dapat disaksikan 4,704 penyokong di Stadium Bandaraya, Georgetown malah turut dipancar melalui siaran langsung yang ditonton di seluruh negara sebelum ia dimuatkan dalam media sosial menjadi viral antarabangsa.
Mohd Faiz yang meledak dua jaringan pada perlawanan tersebut mengakui kehadiran ramai penyerang berbakat muda ke dalam pasukan termasuk import terbaharu, Osas Saha telah merangsangnya untuk bekerja lebih kuat.
Kehadiran muka-muka baharu ini juga secara tidak langsung telah merangsang persaingan sihat di kalangan mereka untuk mempamerkan aksi terbaik merebut kesebelasan utama Harimau Kumbang.

Pemain kelahiran Ayer Hitam, Kedah ini menjelaskan, fokusnya terhadap perlawanan seterusnya menentang Kuantan FA pada aksi Piala FA 2016 di laman sendiri pada Sabtu tidak terjejas biarpun sepakan percumanya hangat diperkatakan.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts