JITRA – Gabungan Institusi Pondok, Tahfiz dan Ilmuwan Sunni (Giptis) menggesa supaya kerajaan mengkaji semula sejarah Islam yang terdapat dalam buku teks Pendidikan Islam rendah dan menengah yang didakwa mempunyai kecenderungan ke arah fahaman Syiah.
 Pengerusinya, Prof Madya Dr Abd Aziz Hanafi berkata, perkara ini perlu diberi perhatian serius kerana ada silibus pengajian yang menggambarkan seolah-olah para sahabat nabi terlibat dalam pembunuhan Saidina Uthman.

“Pada saya, mata pelajaran Pendidikan Islam ini perlu disemak dan ditulis semula. Terutamanya berkaitan sejarah Islam semasa zaman Saidina Uthman dan para sahabat nabi.

 “Saya khuatir perkara ini boleh merosakkan akidah pelajar. Sebabnya, sahabat nabi tidak seorang pun yang terlibat dalam pembunuhan Saidina Uthman. Malah, mereka murka terhadap pembunuhan yang dilakukan itu,” katanya pada sidang media di Hotel Darulaman, di sini semalam.

Tambahnya, pelajar di peringkat universiti juga tidak ketinggalan perlu diperjelaskan mengenai perihal Sunni dan Syiah.

Mengulas mengenai dakwaan terdapat segelintir pemimpin sebuah parti politik terlibat dengan fahaman Syiah, beliau berkata, perkara itu terpulang kepada individu berkenaan untuk mengaku atau sebaliknya.

“Kita bercakap dalam bentuk umum dan tidak menunjukkan kepada sesiapa. Sebenarnya, ia perlu ditanya kepada diri masing-masing. Sepanjang pengalaman saya di Kuala Lumpur, nampaknya pemuda-pemuda Islam lebih mudah terpengaruh dengan fahaman Syiah.

“Jadi sudah tentu ada yang terlibat. Cuma kalau ada pun mereka cuba menyembunyikan diri. Kita harap mereka yang berkenaan itu bertaubatlah sebelum mati. Balik semula ke pangkal jalan,” katanya.