Friday, 22 March 2013

Ustaz Azhar Idrus: Jangan salah pilih pemimpin

Jangan salah pilih pemimpin
Azhar Idrus (tiga, kiri) dan Haslin (empat, kiri) bersama kepimpinan negeri yang hadir mengikuti Program Haflah Ilmu Anak Muda Kelate, malam kelmarin.
KOTA BHARU - Rakyat negeri ini dinasihatkan pilih pemimpin yang tepat untuk mendidik masyarakat dan menjadi pemangkin kepada pembentukan sahsiah jati diri yang berguna.
Penceramah tersohor, Ustaz Azhar Idrus berkata, pemilihan pemimpin yang tepat adalah sangat diperlukan dalam menentukan masa depan anak muda terutamanya di Kelantan.

“Kita perlu pilih hok molek (yang elok). Kalau memandu bas, kena guna pemandu yang tidak mabuk supaya perjalanan selamat sampai, kalau pakai pemandu yang mabuk, walaupun 40 penumpang itu sedang berzikir, berzanji, berselawat, perjalanan tetap tidak selamat sebab semuanya bergantung pada pemandu," katanya.

Ustaz Azhar berkata demikian pada Program Haflah Ilmu Anak Muda Kelate yang diadakan di Stadium Sultan Muhammad ke IV malam kelmarin. Moderator jemputan, Ustaz Syed Norhisyam Tuan Padang mengelola majlis tersebut yang berlangsung hampir empat jam dengan dihadiri lebih 50,000 rakyat negeri ini.

Turut memeriahkan majlis, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang hadir untuk solat maghrib berjemaah; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO, Datuk Abdul Fattah Mahmood, dan Timbalannya, Ustaz Latiff Abdul Rahman serta beberapa ahli exco kerajaan negeri yang lain.

Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud turut menyampaikan kuliah maghrib sebelum majlis bermula.

Kata Ustaz Azhar Idrus, seseorang pemimpin akan menentukan sesebuah masyarakat, bukan orang lain, sama juga dengan masalah remaja sekarang, kalau di rumah, semuanya tanggungjawab ibu bapa, tetapi apabila selangkah mereka keluar dari rumah, semuanya adalah tanggungjawab kerajaan.

Perkara tersebut turut disokong Ustaz Haslin Bollywood yang berpendapat anak muda sekarang perlu memilih jalan yang betul untuk memastikan ilmu dunia dan akhirat dapat diseimbangkan.

“Kita mesti seimbangkan perkara tersebut, sebab itu saya menggunakan inisiatif memberi ilmu sambil berhibur sebab saya tahu anak muda memang tidak boleh lari dari hiburan.

“Apa yang penting, kita mesti seimbangkan perkara ini, dengan hiburan pelbagai perkara kita boleh lakukan, jangan hanya anggap hiburan itu sebagai satu perkara yang tidak elok, anak muda memang suka berhibur, maka carilah ilmu walau dalam apa cara sekalipun,” katanya.

Kedua-dua panel tersebut juga turut berpendapat ibu bapa merupakan tunjang utama pembentukan anak-anak muda terutamanya pada zaman serba moden ini.

Dalam majlis yang sama, hadirin turut disajikan dengan tayangan video penderitaan rakyat syria dan Pelancaran Tabung Syria, Palestin dan Tabung Wira Lahad Datu serta pelancaran radio Wau.fm sebelum bual bicara dimulakan.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts