Wednesday, 20 March 2013

Kisah benar mangsa rompakan mengajak si perompak makan bersama



"Julio Diaz adalah seorang pekerja sosial yang selalu berulang alik dengan tren subway di Bronx, New York. Selalunya, dia menaiki tren untuk pulang pada masa orang lain turut berasak-asak untuk pulang dari tempat kerja. Pada suatu hari, dia pulang dari kerja agak lewat. Setelah menaiki tren dan sampai ke stesennya seperti kebiasaannya, dia pun melangkah keluar dari tren tersebut.

Namun, keadaan stesen tersebut agak sunyi dan sepi daripada penumpang lain. Ketika dia sedang menaiki tangga stesen yang agak sunyi itu, tiba-tiba dia dihampiri oleh seorang pemuda sambil diacukan pisau ke wajahnya.

Pemuda itu mahu merompak duitnya dan mengarahkannya untuk menyerahkan dompetnya. Lantas, Julio Diaz menyerahkan dompetnya kepada pemuda itu seperti yang diminta. Setelah mendapatkan dompetnya itu, pemuda itu segera berjalan untuk meninggalkannya. Namun, sebelum pemuda itu bergerak lebih jauh, Julio Diaz berkata kepada pemuda itu, " Hei, nanti dulu, kamu terlupa sesuatu. Sekiranya kamu ingin merompak lagi pada malam yang sejuk ini, kamu tentunya memerlukan jaket saya untuk memanaskan badan kamu."

Mendengar kata-kata itu, si pemuda itu menoleh dengan kehairanan sambil berkata, "Kenapa kamu ingin menolong saya pula?" Diaz dengan segera menjawab, "Sekiranya kamu sanggup mengambil risiko untuk masuk penjara hanya kerana beberapa dolar, tentunya kamu amat memerlukan wang.. sedangkan saya pula mempunyai wang dan sebenarnya sedang menuju ke kedai makan..".

"Hei, sekiranya kamu ingin makan juga, marilah kita pergi bersama..",
pelawa Diaz secara tiba-tiba membuatkan pemuda tadi tergamam dan kebingungan sambil merenung Diaz ke atas dan ke bawah takut-takut Diaz menyimpan senjata atau mempunyai niat lain. Akhirnya, setelah melihat kesungguhan dan keikhlasan Diaz, mereka berjalan bersama-sama menuju ke sebuah kedai makan. Diaz membawa pemuda itu pergi ke sebuah kedai makan yang selalu dikunjunginya. Ketika memasuki kedai itu, Diaz masuk dengan wajah yang tenang serta tersenyum sambil menyapa pekerja di kedai makan itu seperti biasa, tanpa mendedahkan identiti pemuda yang datang bersamanya.

Sambil menikmati makanan mereka, Diaz berbual dan melayan pemuda itu dengan baik. Setelah mereka selesai makan, akhirnya pekerja di situ menyerahkan bil bayaran kepada mereka. Diaz berkata, " Nampaknya, kamu yang perlu membayar bil ini, Saya tidak lagi boleh membayarnya kerana dompet saya ada pada kamu..atau sekiranya kamu sudi untuk menyerahkan kembali dompet itu, saya amat gembira untuk belanja kamu makan kali ini..". Seperti dipukau, pemuda itu dengan segera menyerahkan kembali dompet Diaz dan dia pun membayar harga makanan itu.

Sebelum mereka berpisah, Diaz memberikan 20 dolar kepada pemuda itu. Namun, Diaz meminta sesuatu sebagai ganti, iaitu pisau yang digunakan oleh pemuda itu untuk merompaknya. Dengan mudahnya, pemuda itu menyerahkan pisau itu kepada Diaz. Dengan tutur kata dan layanan yang baik terhadap perompaknya, Diaz bukan sahaja dapat melembutkan hatinya, malah memperolehi pula sebuah pisau yang mungkin digunakan untuk merompak orang lain. Alangkah indahnya akhlak ini yang mirip akhlak sebenar seorang muslim."


No comments:

Post a Comment

Popular Posts