Bandar Jitra Pesat Membangun Tanpa Pembangunan Sahsiah Remaja
Seorang remaja dicekup selepas disyaki berkhalwat dengan seorang remaja
perempuan dipercayai pelacur di dalam sebuah rumah kedai di Pekan
Jitra, di sini, awal pagi kelmarin.
Difahamkan, remaja lelaki itu datang ke rumah terbabit dengan
menunggang motosikal dari bandar raya ini dipercayai mahu mendapatkan
khidmat seks dengan remaja perempuan berkenaan.
Sumber
berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi, remaja lelaki berusia 17
tahun berkenaan dikatakan pergi ke rumah kedai terbabit untuk bertemu
remaja perempuan berusia 15 tahun bagi mendapatkan khidmat seks.
Menurutnya, pihaknya yang menerima maklumat kemudian pergi ke
premis terbabit sebelum mengetuk pintu beberapa kali lalu dibuka remaja
lelaki terbabit.
“Remaja lelaki itu cuba melarikan diri
dengan menuruni tangga, tetapi anggota penguat kuasa agama berjaya
menahannya semula dan berlaku pergelutan antara mereka.
“Hasil soal siasat mendapati remaja lelaki itu mengaku datang ke premis
berkenaan untuk melanggan remaja perempuan itu yang menjalankan aktiviti
pelacuran sejak berhenti sekolah.
“Ketika dicekup, kedua-dua mereka berpakaian lengkap dan berkurung
sehingga mendatangkan syak dalam rumah yang tertutup rapat dan berkunci
dari dalam,” katanya.
Sumber berkata, remaja perempuan itu turut mengakui menerima bayaran RM80 untuk dilanggan remaja lelaki berkenaan.
Menurutnya, remaja perempuan itu mengakui ada individu
menghantarnya ke rumah berkenaan untuk melakukan ‘kerja’ terbabit bagi
mendapatkan wang dengan mudah.
“Remaja perempuan itu berasal
dari bandar raya ini manakala pasangannya itu pula sedang bercuti
sebelum menyambung semula pengajiannya.
“Mereka dibawa ke
Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu untuk dibuat laporan tangkapan
sebelum dibawa ke pejabat agama daerah untuk diambil keterangan,”
katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 9 (1) dan (2) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kedah 1988.