Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching hari ini mempersoalkan tindakan kerajaan yang didakwa tidak menunaikan janji untuk memberi imbuhan sebanyak setengah bulan gaji kepada pegawai perkhidmatan awam persekutuan termasuk guru sandaran.

Menurut Teo, beliau menerima aduan daripada tiga orang guru sandaran di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Senai yang tidak pernah menerima imbuhan yang sepatutnya diterima pada bulan Disember tahun lalu dan Januari tahun ini.

Katanya, perdana menteri pada tahun lalu berjanji akan memberikan imbuhan tahunan dan bayaran khas prestasi kali kedua kepada pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan.
NONE
"Mereka sepatutnya menerima imbuhan pada Disember tahun lalu dan Januari tahun ini. Tetapi tidak terima sampai sekarang.

"Saya tak tahu lah sama ada mereka ini tidak tahu pekeliling atau apa," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Pada Julai tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuat keputusan untuk memberi imbuhan sempena Aidilfitri kepada penjawat awam.

Bagaimanapun Najib berkata, pemberian imbuhan itu adalah bergantung kepada kemampuan kerajaan.

Bayaran imbuhan minimum bagi tahun 2012 adalah RM1,500-RM500 untuk bulan Ogos 2012, RM500 untuk bulan Disember 2012 dan RM500 untuk bulan Januari 2013.

Sehubungan itu, Teo berkata, beliau meminta agar kerajaan memberi imbuhan kepada pegawai perkhidmatan awam serta guru sandaran seperti yang dijanjikan.