Pemimpin bukan Islam DAP, Dr Ong Kian Ming (gambar) berazam untuk
berpuasa sebulan pada Ramadan kali ini dan percaya produktivitinya
meningkat kerana tidak perlu menghabiskan waktu untuk makan tengah hari.
Ahli Parlimen Serdang beragama Kristian itu mahu berpuasa sebagai
solidariti kepada umat Islam di Malaysia, malah sudah berpuasa sejak
tiga tahun walaupun tidak penuh.
"Menanti untuk berpuasa semasa Ramadan, pertama kali saya cuba untuk
berpuasa penuh," tulis Ong melalui akaun Twitternya @imokman, malam
tadi.
"Harapan saya, kali ini dapat berpuasa penuh seperti rakan Islam
dengan mengambil sedikit makanan seperti buah-buahan pada sahur dan
meneruskan perjuangan berpuasa sehingga ke Maghrib," katanya ketika
dihubungi The Malaysian Insider.
Beliau berkata, objektif puasanya sama seperti umat Islam lain iaitu
untuk mengawal nafsu dan merasai susah-payah rakan Islam mengharungi
puasa pada Ramadan.
"Saya tidak boleh menutup mulut mereka yang mendakwa sedemikian.
Asalkan saya mempunyai niat baik dan pengundi di Serdang juga faham akan
niat saya ini," katanya merujuk sesetengah pihak yang memperlekeh
usahanya.
Bagi merai kemeriahan berbuka puasa, beliau bercadangmenghadiri
beberapa majlis berbuka puasa termasuk bersama wakil rakyat lain di
Parlimen.
"Hari pertama Ramadan, saya akan berbuka puasa di Parlimen bersama
ahli parlimen lain dan pada minggu depan pula, saya mahu berbuka puasa
bersama rakan-rakan beragama Islam.
"Saya juga bakal menyertai satu program keluarga angkat bagi merasai
sendiri pengalaman keluarga Melayu menjalani ibadah puasa," katanya.
Pengumuman Ong menerima reaksi positif apabila ramai pengikut
Twitternya mencadangkan hidangan sesuai untuk bersahur, selain
mengundangnya berbuka puasa dan tidak kurang menyangka beliau sudah
memeluk Islam.
Umat Islam di Malaysia mula berpuasa Rabu ini setelah Penyimpan Mohor
Besar Raja-Raja, Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad mengumumkan tarikh
permulaan puasa ditetapkan pada Rabu ini.
DAP sering diberi publisiti negatif dan dituduh anti-Melayu dan anti-Islam oleh Umno.
Pendirian DAP membantah pelaksanaan hukum Hudud digunakan oleh Umno untuk melabel mereka sebagai anti-Islam. - 9 Julai, 2013.
The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment