Sunday 12 August 2012

"Tuan, puan bayar bayar cukai tanah, kerajaan negeri bagi balik dekat tuan, puan,” Azizan


SIK – “Banyak tanda berada, sikit tanda ingat, apa yang tuan, puan dapat sebenarnya hasil dari tuan, puan juga. Tuan, puan bayar bayar cukai tanah, kerajaan negeri bagi balik dekat tuan, puan,” demikian petikan tazkirah Menteri Besar, YAB Dato’Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak.
Berucap sempena majlis penyampaian sumbangan dan berbuka puasa bersama guru-guru Al-Quran sukarela dan bidan di Masjid Kampung Senam, Sik, beliau melahirkan rasa penghargaannya kepada golongan berkenaan kerana jasa dan bakti mereka terhadap masyarakat.
“Apabila kita mengambil alih pemerintah Kedah sejak empat tahun yang lalu, kita mengambil keputusan untuk memberi penghargaan kepada mereka ini, terutama ketika menjelang hari raya. Sumbangan mereka sangat besar dan memberi bakti kepada generasi dulu hingga sekarang,“ tambahnya lagi.

Kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM1.5 juta sebagai sumbangan kepada kira-kira tujuh ribu guru-guru Al-Quran sukarela dan bidan-bidan kampung seluruh Kedah pada tahun ini. Walau pun sumbangan tersebut tidak memadai dengan sumbangan golongan berkenaan yang besar kepada masyarakat tetapi ianya lebih kepada sebagai tanda ingatan serta menghargai jasa-jasa mereka, di mana sebelum ini tidak pernah diambil perhatian oleh kerajaan terdahulu.
“Saya sendiri belajar  mengaji dengan guru Al-Quran belakang rumah saya. Saya belajar mengeja, kemudian baca muqaddam, lepas itu barulah baca Al-Quran. Walau pun sekarang ini telah banyak sistem pembelajaran Al-Quran tetapi sistem yang kita belajar sejak dulu lagi adalah melalui guru-guru Al-Quran kampung.
“Mereka ini bukan ada sekolah, tidak ada ijazah atau kelulusan tinggi tapi khidmat dan jasa mereka sangat besar. Mengenalkan Al-Quran kepada kita,” sambung beliau.
Menurutnya lagi, hendak dirikan solat kena tahu baca Al-Quran. Kalau tidak boleh membaca Al-Quran, macamana hendak membaca Al-Fatihah atau ayat-ayat lain dalam sembahyang. Maka jelas sekali peranan golongan berkenaan walau nampak kecil tetapi memberi makna yang besar.
“Begitu juga dengan bidan kampung, walau pun sekarang orang tidak lagi menggunakan bidan kampung untuk menyambut kelahiran bayi tetapi peranan dan tugas bidan kampung ini masih diperlukan. Terutama apabila selesai melahirkan anak. Oleh itu kita tidak boleh melupakan jasa-jasa mereka terhadap masyarakat,” katanya di hadapan kira-kira 800 orang hadirin.
Tegasnya lagi, berkat doa yang dipanjatkan oleh rakyat Kedah, Allah SWT telah menerbitkan bijih besi di Kedah. Banyak tempat sudah dikenal pasti kewujudan bijih besi dan ini menunjukkan rahmat dan rezeki Allah apabila kebajikan golongan yang memerlukan diambil perhatian. Kerajaan negeri akan pulangkan semula segala hasil pendapatan negeri kepada rakyat terutama kepada golongan yang memerlukan,
Seramai 438 orang guru-guru Al-Quran sukarela dan 74 orang bidan meliputi seluruh daerah Sik telah menerima sumbangan sempena bulan Ramadan pada tahun ini. Sumbangan disampaikan oleh YAB Menteri Besar.
Antara yang turut hadir termasuklah, Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, YB Dato’Mohamed Taulan Mat Rasul, Ahli Parlimen Sik, YB Che Uda Che Nik, ADUN Jeneri, YB Dato’Yahaya Abdullah, YB Senator Yusuf Husin, Pegawai Daerah Sik, Pengerusi YIK dan Tuan Guru Hj Salleh Musa.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts