Wartawan Sinar Harian
28 September 2012
Zarina dan anaknya
Zarina (dua, kanan) ketika menerima kunjungan daripada Penyelaras Parlimen Padang Terap, Badrolhisham Hashim (dua, kiri).
KUALA NERANG - Kisah wanita yang terpengaruh lalu mengikut teman lelaki
ke negara seberang sama ada secara sedar atau tidak sering kali menjadi
paparan media massa kebelakangan ini.
Sinar Harian berkesempatan bertemu dengan Zarina Abu Bakar, 29, yang
pernah terpengaruh dengan teman lelakinya sehingga mengikut jejaka
dikenali dengan nama Suhelmi, 27, pulang ke Indonesia kira-kira tiga
tahun lalu, berkongsi pengalaman berkaitan dilaluinya.
Guna kata-kata manis
Zarina yang kini bekerja di kantin sebuah institusi pengajian tinggi
(IPT) sememangnya menyesal dengan kejadian berlaku dan mahu memadam
peristiwa itu dalam kotak fikirannya.
“Biarlah apa yang berlaku itu berlalu begitu sahaja kerana saya kini
mahu membina kehidupan baru dengan suami dan tiga anak di sini.
“Saya juga tidak pernah berhubung dengan Hell (Suhelmi) setelah pulang
ke Malaysia termasuklah bertanyakan khabar mengenai anak perempuan (Nur
Alisa) kami yang kini berusia satu tahun sembilan bulan,” katanya ketika
ditemui di rumah ibunya di Kampung Kuala Pai.
Mengimbas kembali apa yang berlaku, Zarina berkata, dia mengenali
Suhelmi ketika bekerja di sebuah kedai makan di Negeri Sembilan.
Tempoh perkenalan mereka selama tujuh bulan membuatkan Zarina tertarik
dengan lelaki tersebut yang sering menggunakan kata-kata manis sewaktu
bercakap dan gemar menghadiahkan pelbagai barang.
Zarina yang dibawa ke Lombok Timur, Indonesia secara haram dibawa menaiki bot bersama penumpang lain.
“Saya sendiri tidak tahu bagaimana perjalanan sewaktu menaiki bot
kerana pada waktu itu saya tidak ingat apa berlaku dan hanya tersedar
peristiwa tersebut setelah hampir setahun setengah berada di sana.
“Namun, apa yang saya ingat, kehidupan saya di sana amat susah, saya
terpaksa bekerja menanam padi untuk mencari wang,” katanya.
Pulang secara haram
Zarina berkata, Suhelmi yang sebelum pulang ke Indonesia bekerja di
ladang kelapa sawit, selepas itu menjalankan kerja di sawah dengan
pendapatan RM2.50 sehari iaitu Rp 10,000 mata wang Indonesia.
Lebih memeritkan apabila dia mengenangkan perjalanan pulang ke Malaysia
yang terpaksa ditempuh seorang diri sehingga lemas di lautan.
Dia berkata, segala proses pulang ke Malaysia dilakukan sendiri dengan
wang dikirimkan ibunya, Mariam Kassim, 50, tanpa dibantu lelaki yang
enggan mengahwininya itu.
Dia sekali lagi terpaksa pulang ke tanah air secara haram terpaksa
membayar RM2,500 untuk menaiki kapal terbang ke Batam dan kemudian
menaiki bot ke Johor Bahru sebelum menaiki bas ke Kuala Lumpur.
“Sekali lagi saya terpaksa menempuh perjalanan yang amat sukar, apabila
tiba di tengah laut, saya dan 26 penumpang lain terpaksa terjun ke laut
kira-kira jam 4 pagi dan berenang ke tepi untuk masuk ke dalam hutan.
“Setelah terjun, saya terus pengsan dan hanya tersedar setelah
dikejutkan penumpang lain yang membawa saya ke tepi dan kami kemudian
berjalan di dalam hutan dan menaiki van kira-kira jam 7 pagi,” katanya.
Zarina berkata, setelah tiba di hentian Puduraya, Kuala Lumpur, dia dijemput ibunya untuk dibawa pulang ke kampungnya, di sini.
Ramai wanita Malaysia di Lombok
Menurutnya, perjalanan yang berliku dan jauh itu membuatkan dirinya
insaf untuk berkawan dengan lelaki warga asing yang hanya menjanjikan
kata-kata manis namun tidak dikotakan.
Zarina turut berkongsi pengalamannya bersama wanita dari Malaysia lain
yang berada di Lombok, Indonesia yang terpaksa melalui kehidupan sama
seperti dirinya.
Menurutnya, masih ramai wanita termasuk gadis dari negara ini yang tinggal di sana setelah mengikut teman lelaki mereka.
“Tidak semua wanita mengikut lelaki Lombok dijadikan isteri, ada juga
yang tidak berkahwin tetapi tinggal serumah dengan lelaki tersebut.
“Saya juga berharap sekiranya ada pihak yang dapat membantu membawa
pulang mereka ke Malaysia kerana mereka juga mahu pulang tetapi terpaksa
membatalkan niat akibat kekangan wang,” katanya.
Dua kes terbaru
Sinar Harian Selasa lalu menyiarkan berkenaan situasi terpaksa dihadapi
sebuah keluarga di Tanjung Dawai, Sungai Petani yang menunggu selama
enam tahun kepulangan anaknya, Munirah Abdul Hamid yang kini dipercayai
berada di Batam, Indonesia.
Menurut bapa Munirah, Abdul Hamid Mat, 50, anak ketiga dari lima
beradik itu dipercayai terpengaruh dengan teman lelakinya enam tahun
lalu sewaktu dia masih bersekolah di tingkatan empat.
Abdul Hamid hanya mengetahui Munirah berada di Indonesia setelah
menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) memaklumkan gadis itu berada di
Batam, pada 2007 dan mereka turut menerima surat 8 Ogos lalu yang
menjelaskan dia sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak lelaki.
Keesokan harinya, Sinar Harian menyiarkan pula kisah sepasang suami
isteri yang meminta bantuan untuk membawa anak mereka pulang dari
Lampung, Indonesia.
Ibu kepada wanita dipercayai mengikut teman lelakinya ke Lampung,
Indonesia itu lega apabila menerima panggilan daripada anaknya
memaklumkan akan pulang ke tanah air.
Aishah Baharom, 67, dari Taman Wira Mergong gembira apabila menerima
panggilan daripada suami anaknya, Hamidah Mohd Noor, 46, yang dikenali
dengan Taufik mengatakan mahu pulang ke Malaysia untuk bertemu keluarga.
Hamidah dipercayai mengikut teman lelakinya 11 tahun lalu sewaktu dia
bekerja di kilang di Pulau Pinang tanpa memberitahu hasratnya ke sana
kepada keluarga dan hanya memaklumkan setelah mendapat cahaya mata.
Polis tersebut tidak mahu memaafkan kesalahannya. Mereka sedang bercakap-cakap serius. Rupanya, seseorang yang berada di tempat tersembunyi itu, kebetulan membawa handphone berkamera..
Gambar-gambar inilah rakamannya...