Bekas pensyarah pilih polis kerana cabaran
Sumebr: Utusan Malaysia
Rizal Abdul Rahman ketika kawad bulanan di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru pada 2002.
TUGAS sebagai seorang pensyarah di institusi pengajian tinggi awam
(IPTA) selama dua tahun belum cukup memberi kepuasan buat Asisten
Supritendan (ASP), Rizal Abd. Rahman Sidek sehingga dia membuat
keputusan memilih kerjaya polis pada 1 Oktober 2000.
Sejak tarikh itu, anak kelahiran Taiping, Perak itu tidak menoleh ke
belakang lagi malah berbangga dan bersyukur kerana cita-cita untuk
menyarung uniform Polis Diraja Malaysia (PDRM) akhirnya tercapai jua.
Walaupun berpeluang untuk menjadi seorang pendidik, namun Rizal masih
mencari-cari sesuatu yang lebih mencabar sekali gus menyumbang bakti
terhadap masyarakat.
Malah keputusan untuk beralih bidang kerjaya itu dibuat dengan mudah
kerana minat yang mendalam untuk berkhidmat bersama pasukan Sang Saka
Biru telah bermula sejak kecil lagi.
Tambahan pula, bapa Rizal, Abdul Rahman Sidek Ahmad, 62, merupakan
seorang pesara polis yang banyak memberi galakan dan sokongan untuk
menyambung bakti dalam bidang yang sama.
Disember 2005, wartawan
Utusan Malaysia, Suffian Abu Bakar
pernah mencoret di sebalik tabir kehidupan Abdul Rahman yang ketika itu
menjawat Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Ibu Pejabat Polis
Daerah (IPD) Muar.
Ketika itu, bapa dan anak ini pernah berkongsi pangkat ASP dan bidang
tugas di jabatan yang sama iaitu Keselamatan Dalam Negeri dan
Ketenteraman Awam (KDNKA) sebagai pegawai trafik di cawangan
masing-masing.
Abdul Rahman, 62, kemudian bersara pada 2006 manakala Rizal, 37, kini
bertugas sebagai Pegawai Penerangan Akhbar Urus Setia Ketua Polis
Negara (Perhubungan Awam), Bukit Aman.
"Bapa saya menerapkan sikap tanggungjawab dan disiplin yang
diamalkannya dalam mendidik anak-anak sehingga berjaya menarik minat
saya untuk mengikut langkah yang sama.
"Alhamdulillah, saya sangat berterima kasih kerana jasa kedua ibu
bapa telah menjadikan saya dan adik-adik, manusia yang berguna seperti
hari ini.
"Sebenarnya saya menyertai polis kerana mahu lebih dekat dengan
masyarakat," katanya yang menceritakan pernah menangis melihat mayat
seorang bayi yang dibuang dalam keadaan menyayat hati di dalam masjid di
Johor Bharu, 2002.
Pemegang dua diploma iaitu Diploma Kejuruteraan Mekanikal dan Diploma
Sains Pengurusan, Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dan Ijazah
Sarjana Sains Pengurusan, sentiasa menganggap proses pembelajaran
berlaku sepanjang hayat dan tidak pernah terhenti.
Di sebalik pencapaian akademik cemerlang, Rizal yang memperoleh Gred
Purata Nilai Kumulatif (CGPA) 3.92 selepas menamatkan program Ijazah
Sarjana, menceritakan dia pernah dicabar melakukan sebaik mungkin dalam
pengajiannya itu oleh pegawai kanan Unit Latihan Polis, Bukit Aman,
Datuk Jamshah Mustapha.
"Saya amat menghargai peluang yang diberi PDRM dan Jabatan
Perkhidmatan Awam (JPA) bagi melanjutkan pelajaran dengan cuti bergaji
penuh serta bantuan biasiswa sepanjang melanjutkan pelajaran di
peringkat Ijazah Sarjana pada 2010 hingga 2011," katanya lagi.
Rizal akui tidak pernah menyesal memilih PDRM walaupun memiliki latar
belakang akademik yang baik kerana baginya ilmu pengetahuan diibaratkan
akar yang perlu kuat sebelum menghasilkan buah yang baik.
"Tiga asas penting iaitu pengetahuan, kemahiran dan sikap yang baik
perlu ada dalam pembangunan kerjaya seseorang. Contohnya, sikap malu,
malas dan mudah rasa selesa merupakan sikap negatif yang boleh
menghalang seseorang untuk terus maju ke hadapan," jelasnya.
Katanya sambil memberi contoh tugas sebagai pegawai perhubungan awam
yang perlu menerapkan 3C iaitu kolaborasi, komunikasi dan kreativiti
dalam membina hubungan dengan pihak lain.
"Masyarakat adalah pelanggan PDRM, jadi membina hubungan yang positif antara kedua-dua pihak merupakan tugas paling mencabar.
"Sebagai polis, kita kena bersedia dari segi mental dan fizikal kerana semua maklumat hari ini di hujung jari sahaja.
"Jadi untuk berhadapan dengan masyarakat alaf baru, empat asas
penting dalam hierarki pengurusan maklumat perlu ada iaitu fakta,
maklumat, pengetahuan dan bijaksana supaya mesej yang ingin disampaikan
tercapai," ujarnya.