Sunday, 13 March 2016

Mewarna kini hobi orang dewasa

Jenama-jenama terkenal dalam penghasilan pensel dan krayon warna seperti Stabilo, Staedtler dan Cana d’Ache mendapat permintaan tinggi sehingga 14 peratus berbanding sebelum ini.



Tatkala orang ramai sibuk dengan inovasi gajet-gajet terbaharu, menariknya kewujudan buku-buku mewarna yang direka khas untuk golongan dewasa telah menjadi fenomena masa kini.
Buku mewarna merupakan salah satu cara terbaik untuk menangani tekanan dan lari sebentar daripada dunia teknologi di samping menyerlahkan bakat terpendam masing-masing.
Namun, perkembangan trend tersebut menjadi kemusykilan dan tanda tanya besar kepada pembuat krayon dan pensel warna. Adakah trend itu kekal atau pun akan pudar mengikut peredaran masa?
“Setiap malam saya bermimpi dan memikirkan mengenai krayon,” kata Andreas Martin yang merupakan pengurus kilang pensel warna, Staedtler di Nuremberg, Jerman.
Staedtler pada awalnya merupakan perniagaan keluarga sehinggalah ia menjadi antara jenama terkenal dan mempunyai lebih 2,000 orang pekerja.
“Pensel warna sering mendapat permintaan tinggi dan lazimnya, kami menghasilkannya dalam kuantiti yang sama setiap tahun. Jika ada permintaan lebih, kami masih boleh melakukannya.
“Namun, dengan fenomena sekarang ini, dengan tiba-tiba kami seperti tidak cukup tangan untuk mengeluarkan pensel warna. Sungguh tidak dijangka,” ulasnya.
Fenomena
Di belakangnya, kelihatan sebuah mesin pembuat pensel warna mengeluarkan pensel kuning pada kadar 6,000 unit sejam manakala mesin seterusnya menghasilkan pensel oren.

Seorang pekerja kilang Staedtler di Jerman sedang memeriksa pemprosesan pensel berwarna.


Dalam seksyen lain, pensel dan krayon dalam kepelbagaian warna disusun dan dimasukkan ke dalam kotak, yang setiap satunya mempunyai 20 atau 36 batang.
Bungkusan kotak-kotak tersebut akan dieksport ke Amerika Syarikat (AS), Britain dan Korea Selatan.
Menurut Pengarah Staedtler, Axel Marx, ketiga-tiga negara tersebut merupakan negara utama yang menyaksikan fenomena mewarna bagi golongan dewasa.
“Di AS, sembilan jenis buku mewarna untuk golongan dewasa merupakan antara 20 produk terlaris dijual di Amazon," jelasnya.
“Fenomena tersebut kelihatan mula memasuki dunia Eropah sedikit demi sedikit,” kata Horst Brinkmann yang merupakan ketua pemasaran jenama Stabilo Schwan.
Kesemua jenama terkenal mengorak langkah dalam permainan tersebut. Stabilo telah melancarkan beberapa set krayon dan buku mewarna yang bermotifkan musim bunga.
Jenama Caran d’Ache dari Switzerland pula mengeluarkan beberapa buku mewarna yang berunsur pergunungan Alpine dan landskap musim sejuk.
Sementara itu, Brinkmann menjelaskan, keuntungan yang dicatatkan bagi krayon dan pensel warna Stabilo meningkat lebih 10 peratus. Jenama Staedtler juga tidak kurang hebatnya, ia meningkat sehingga 14 peratus.
“Perkembangan ini sangat menakjubkan walaupun kita berada dalam dunia serba teknologi.
“Namun, ia sebenarnya merisaukan kerana kita tidak tahu sampai bila fenomena ini bertahan.
“Kita perlu fikir tentang kejadian yang mungkin akan berlaku. Hal ini kerana trend tersebut boleh berubah pada bila-bila masa. Jadi, kita kena seimbang dalam proses pengeluaran,” jelas Martin.



Tambahnya, setakat ini, mereka masih mengikuti rutin yang sama. Martin juga memikirkan sama ada untuk menambah mesin-mesin baharu ataupun tidak.
“Jika pasaran mulai turun, kami masih boleh menggunkan mesin-mesin penghasilan pensel dan krayon warna untuk mengeluarkan produk lain,” jelasnya.
Persaing Stabilo dan Staedtler iaitu Caran d’Ache mengambil langkah yang berbeza malah mempumyai harapan tinggi terhadap trend mewarna itu.
“Kami mempertingkatkan pengeluaran produk dan menambah pekerja serta bekerja lebih masa,” kata Presidennya, Carole Hubscher.
Tambahnya, dia begitu yakin bahawa fenomena tersebut tidak akan pudar atau hilang. Jadi, adalah penting untuk pembuat krayon dan pensel warna untuk terus mengeluarkan produk-produk mereka. – AFP


Naik 50 kereta api dalam 15 hari



KETIKA musim sejuk di Itali, seorang anak muda terpaksa transit selama lima jam di stesen kereta api Grosseto sebelum menyambung perjalanan ke destinasi seterusnya.
Dia yang tiba sejak pukul 12 tengah malam berasa gerun apabila mendapati dirinya bersendirian di tempat asing itu.
Gagal mendapatkan bantuan rakyat tempatan untuk mencari tempat berehat, pada suhu yang hampir mencecah 0 darjah Celsius dia membuat keputusan untuk menyorokkan bagasinya di sebuah kawasan semak.
Dia kemudiannya menyertai kumpulan gelandangan yang tidur di sekitar kawasan stesen kereta api tersebut.
Pengalaman itu merupakan antara kenangan yang tidak dapat dilupakan oleh pengembara beg galas, Meor Farid Asyradi Meor Zahidi, 26, semasa kembaranya merentasi benua Eropah dengan menaiki kereta api.
“Walaupun kepenatan, saya tabahkan diri menanti ketibaan kereta api seterusnya. Dalam keadaan sedemikian, lima jam di Itali umpama lima hari lamanya.
“Ia merupakan pengalaman yang banyak mengajar saya untuk sentiasa bersedia dengan segala kemungkinan. Bagi saya cukuplah saya selamat sepanjang bersendirian di negara asing itu,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! di Rumah Universiti, Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur baru-baru ini.
Anak jati Sungai Siput, Perak itu juga merupakan penulis buku Travelog Mr. Traveller, sebuah naskhah perkongsian kembaranya di 15 buah negara dengan menaiki 50 kereta api selama 15 hari.
Dilahirkan pada 11 Mei 1990, minat mengembara pelajar Sarjana Sains Politik Islam juga di UM itu mula berputik selepas terlibat dalam program pertukaran pelajar di dua buah negara iaitu Mesir dan Korea Selatan.
Rentetan itu, dia yang juga merupakan seorang guru tuisyen dan moderator sambilan akan sentiasa mencari ruang dan peluang untuk pergi melancong beg galas secara sendiri atau berkumpulan setiap kali cuti semester.
Kembaranya di benua Eropah dua tahun lalu merupakan perjalanan yang banyak memberi pengalaman bermakna sambil meluaskan pengetahuan tentang negara orang.

Buku Travelog Mr. Traveller telah dijual sebanyak 12,000 unit.


Seperti pengembara beg galas lain, Meor Farid Asyradi memulakan minatnya dengan mengembara di negara-negara jiran bagi menimba pengalaman berada di negara berbeza adat, bahasa dan kehidupan sosial sebelum merentas benua lain.
Markas
Putera kepada pasangan Meor Zahidi Meor Muhd. Tahir, 56, dan Masturah Meor Adnan, 55, itu memulakan kembaranya selama dua bulan di benua Eropah dengan menjadikan Sweden sebagai pusat utama dalam rancangan perjalanannya.
“Sweden umpama markas untuk kembara saya di Eropah. Di sana saya mempunyai seorang rakan. Kami berkenalan ketika sama-sama menguruskan program Sveriges Muslimska Akademiker (SMA-APIUM Summer Camp) yang diadakan di Akademi Pengajian Islam UM.
“Sebelum memulakan perjalanan menaiki kereta melalui 15 buah negara, saya meluangkan masa terlebih dahulu bersama rakan-rakan di Sweden dan melancong ke Britain selama seminggu,” ujarnya.
Tambah anak kedua daripada lima beradik itu, sebelum memulakan langkah untuk mengembara ke benua Eropah dia telah melakukan persiapan awal dengan membuat beberapa rujukan dan perancangan.
Antara persiapan awal Meor Farid Asyradi sebelum melakukan pengembaraan ialah merancang perjalanan, kewangan, mengkaji tentang budaya dan adat resam tempat yang ingin dikunjungi serta menghubungi rakan-rakan di beberapa buah negara di benua Eropah.
Pada masa sama dia turut melakukan beberapa perancangan tambahan sebagai persediaan sekiranya berlaku sebarang perkara yang tidak diduga.
Khatam Quran
Menurutnya, perbelanjaan sepanjang dua bulan dia berada di sana hanya menelan belanja hampir RM7,000 termasuk tiket penerbangan ke Sweden dan tiket perjalanan 15 hari melalui 15 buah negara.

Antara koleksi gambar kenangan yang dirakam oleh Meor Farid Asyradi ketika mengembara di benua Eropah.


Walaupun jumlah itu kedengaran kurang munasabah, Meor Farid Asyradi telah membuktikan sebaliknya. Baginya pengembaraan yang dilakukan lebih untuk mendekatkan diri kepada Sang Pencipta.
Antara kenangan lain yang tidak boleh dilupakan adalah rasa hiba apabila dapat mendengar semula azan Subuh berkumandang ketika merentasi sempadan negara Turki.
“Ia merupakan saat yang menyentuh perasaan apabila setelah hampir sebulan lebih saya tidak mendengar azan dilaungkan dari masjid. Ternyata masih ada syiar Islam yang berkembang di benua Eropah ini.
“Selain mengembara, saya juga meletakkan satu lagi sasaran utama iaitu ingin khatam al-Quran sepanjang dua bulan di Eropah kerana ia merupakan cara terbaik untuk membendung diri daripada terbelenggu maksiat ketika di negara orang,” jelasnya.
Tambah suami kepada Siti Syahidah Mohd. Samsudin, 26, selain itu dia juga tidak boleh melupakan saat getir ketika hampir menjadi mangsa peras ugut ketika berada di Romania. Saat itu Allah benar-benar melindungi dirinya dengan memberikan ilham untuk melepaskan diri.
Semua pengalaman yang dialami olehnya merupakan momen yang sangat berharga buatnya. Dia pada masa sama melihat pengalaman tersebut sebagai ilmu yang boleh memberi manfaat kepada orang lain.
Mahu berkongsi pengalaman dengan orang ramai tentang kembaranya di Eropah, pada April 2015, Meor Farid Asyradi telah menerbitkan buku Travelog Mr. Traveller, 25 Tahun-35 Negara-Niat-Minat dengan modal sendiri.
Tidak berniat untuk memperdagangkan pengalamannya, tanpa disangka tindakan menerbitkan buku travelog tersebut mendapat sambutan menggalakkan daripada pembaca.
“Pada awalnya saya tidak merancang untuk menerbitkan buku, namun akhirnya saya membuat keputusan untuk melakukan sedemikian setelah memikirkan ia boleh menjadi jalan dakwah saya menyampaikan ilmu kepada masyarakat.
“Ia merupakan satu langkah berani dan saya mengambil masa selama tiga minggu untuk menggarap kandungan dan proses mencetak mengambil masa lebih kurang dua minggu,” ujarnya.
Berani
Setelah sembilan bulan berada di pasaran, buku terbitan Meor Farid Asyradi telah terjual sebanyak 12,000 unit.

Dengan sekeping tiket, Meor Farid Asyradi mengembara ke 15 negara dengan menaiki 50 buah kereta api selama 15 hari.


Kini buku yang merupakan cetakan kelima itu masih berada di pasaran serta telah dinobatkan sebagai salah satu antara 15 buku terlaris 2015 di sebuah kedai buku terkemuka Malaysia.
Bagi Meor Farid Asyradi, segala pencapaian yang dikecapi merupakan rezeki kurniaan Ilahi. Dia yang bercita-cita untuk menjadi pensyarah selepas tamat pengajian sarjana memberitahu, aktiviti melancong dan penglibatan dalam bidang penulisan akan tetap diteruskan.
“Insya-Allah tahun ini saya akan menerbitkan sebuah lagi buku, Travelog Mr. Traveller: The Untold Story yang bakal memuatkan 50 kisah benar sepanjang pengalaman menjadi pengembara beg galas.
“Pada masa sama, saya juga merancang untuk membuka syarikat penerbitan sendiri bagi membantu dan membuka platform buat penulis muda lain memulakan karier dalam bidang penulisan,” jelasnya mengakhiri bicara.

Thiah pemilik suara Boboiboy

Bagi penggemar siri animasi Boboiboy, pasti tertanya-tanya siapa pemilik suara kartun superhero itu.

Jangan terkejut kerana di sebalik personaliti Boboiboy, dia adalah gadis berusia 17 tahun, Nurfathiah Diaz, 17.

Mula membabitkan diri sebagai pelakon suara sejak berusia tujuh tahun, Nurfathiah atau lebih mesra disapa Thiah tidak menyangka dia mampu bertahan sehingga sekarang.


“Saya meminjamkan suara bagi watak Upin dan Ipin sejak berumur tujuh sehingga 10 tahun.

“Selepas itu, saya meminjamkan suara untuk Boboiboy pada usia 12 tahun sehingga sekarang. Kiranya, tahun ini genap 10 tahun saya terbabit sebagai pelakon suara,” katanya.

Menurut Thiah, menjadi pelakon suara sama sekali tidak pernah terlintas di fikiran sebaliknya rezeki itu hadir secara kebetulan.

Namun, secara perlahan-lahan minatnya terhadap bidang itu mula bercambah sehingga menjadi pilihan penerbit syarikat animasi.

“Saya tidak pernah tahu wujudnya bidang ini. Bukan apa, sejak kecil lagi ketika menonton kartun saya sangkakan itu adalah suara mereka sendiri.

“Apabila diberi peluang melakonkan watak Upin dan Ipin serta Boboiboy, baru saya faham.

“Ternyata ia bukan semudah disangka kerana perlu berlakon dengan emosi yang betul mengikut skrip disediakan. Ada ketika untuk satu-satu babak mengambil masa yang lama,” katanya.

Sambung Thiah, dia masih bersekolah seperti biasa kerana poses rakaman suara dilakukan pada setiap Sabtu dan Ahad.

“Jika kebetulan ada perkara penting atau pembetulan, baru proses rakaman dijalankan pada hari biasa.
“Kebiasaannya setiap kali sesi mengambil masa enam jam membabitkan satu episod. Tetapi ia juga bergantung kepada durasi babak itu,” katanya.

Menerusi filem Boboiboy, Thiah mengambil masa dua tahun untuk merakamkan suaranya kerana proses pembikinan filem itu dilakukan secara berterusan.

Selepas filem itu mendapat sambutan menggalakkan peminat di Malaysia, Thiah tidak sabar bertemu peminatnya di Indonesia pada 13 April ini.

“Memandangkan siri ini turut ditayangkan di Indonesia, jadi tidak dinafikan ramai peminat saya dari sana.
“Sejak mereka mendapat tahu filem ini bakal ditayangkan di sana, setiap hari Instagram saya dihujani komen mereka tidak sabar mahu berjumpa saya,” katanya.

Insurans suara

Sepanjang sedekad pembabitannya sebagai pelakon suara, Thiah mengakui berasa seronok dan berbaloi.

“Alhamdulillah, soal bayaran memang berbaloi kerana pelakon suara tidak memerlukan tenaga yang banyak.
“Paling penting, saya dapat bekerjasama dengan pekerja kreatif yang menjayakan siri animasi ini. Bagi saya, ia pengalaman berharga yang orang lain belum tentu dapat,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai kerjayanya itu, Thiah memberitahu dia tidak mengambil insurans suara, jauh sekali mengamalkan sebarang tip penjagaan suara.

“Bab makan saya tak ada pantang larang. Saya sama seperti remaja lain. Kalau kebetulan suara saya ada masalah, proses rakaman tidak dibuat.

“Kalau nak tahu, suara Boboiboy itu adalah suara sebenar saya. Berbanding kebanyakan pelakon suara lain, mereka boleh menukar jenis suara, tetapi tidak saya,” katanya.

Thiah berkata, dia tidak pernah meletakkan sebarang sasaran berapa lama berkhidmat sebagai pelakon suara.

Baginya, selagi ada rezeki dan permintaan, dia akan terus berkhidmat sebagai Boboiboy.

Thiah juga memasang impian mencuba bidang nyanyian dan pengacaraan.

“Sejak berada dalam bidang ini, saya teringin mengembangkan bakat sebagai pengacara. Malah, kalau diberi peluang menyanyi pun saya boleh.

“Cuma, kalau diminta berlakon awal-awal lagi saya menolak,” katanya.

Wajah Fotogenik Diana Danielle Tarik Minat Mawar Fareeda



SELEPAS Amyra Rosli, kini giliran model dan pelakon jelita Diana Danielle dilantik menjadi Faces of Fareeda untuk jenama tudung terkemuka di Malaysia, Fareeda.

Menganggapnya sebagai rezeki, pemilik nama penuh Diana Danielle Danny Beeson ini mengakui bersedia untuk menggalas tanggungjawab dalam mempromosikan koleksi terbaru Fareeda, Sweet Love by Princess of Persia.

Pada masa sama, pelakon berusia 25 tahun ini mengakui cukup teruja kerana dapat menjadi sebahagian daripada Fareeda.
“Alhamdulillah, ia rezeki saya. Saya tidak teragak-agak untuk menerima tawaran ini  memandangkan saya pernah bekerjasama dengan Fareeda, sebelum ini.
“Lagipun, Fareeda sentiasa menghasilkan tudung yang berkualiti bahkan secara peribadinya, saya senang dan suka bekerja dengan individu yang bagus,” katanya.
Berbicara mengenai Sweet Love by Princess of Persia, Diana mengakui ada sedikit persamaan dengan koleksi terbaru tudung Fareeda itu.
“Konsep ‘love’ yang dimainkan ada persamaan dengan tanda tangan saya. Jadi saya sangat suka.
“Malah, ia ‘simple’, jelas dan mudah untuk dipakai. Koleksinya lebih kepada warna yang pelbagai malah cetakan ‘love’ juga membuatkan ia tampak menarik dan bersemangat buat si pemakai.
“Sebab itu, koleksi ini bukan hanya untuk golongan muda, sebaliknya turut bersesuaian bagi golongan berusia kerana ia bersifat umum,” katanya.
Ketika ditanya adakah pelantikannya sebagai Faces of Fareeda ada berkaitan dengan pertukaran imejnya nanti, Diana menjawab:
“Insya-ALLAH, doakanlah untuk saya. Mana tahu, suatu hari nanti saya akan bertukar imej.
“Sebagai seorang Islam, sudah tentu saya mahu menjadi insan yang terbaik dan saya juga perlahan-lahan sedang ke arah itu,” katanya.

Wajah Diana fotogenik

Sementara itu, Pengarah Fareeda Global Resources Sdn Bhd, Mawar Abdul Karim berkata, pemilihan Diana sebagai Faces of Fareeda adalah kerana tertarik dengan keunikan wajah yang dimiliki oleh pelakon berkenaan.
“Wajahnya yang fotogenik dan ‘classy’ bersesuaian dengan koleksi terbaru yang bakal ditawarkan oleh Fareeda.
“Pada masa sama, kita juga masih menjalinkan kerjasama dengan Faces of Fareeda, sebelum ini,” katanya.
Kata wanita berusia 27 tahun ini lagi, jalinan kerjasama ini bertujuan untuk memperkenalkan koleksi terbaru dari Fareeda dan sekali gus memperkenalkannya kepada peminat.
“Sebenarnya, Fareeda dan Diana mempunyai golongan peminat berbeza.
“Jadi dengan adanya kerjasama sebegini, capaian kempen untuk peminat yang berbeza akan menjadi lebih meluas,” katanya.
Koleksi corak Sweet Love ini akan berada di Butik Fareeda Bandar Baru Bangi bermula 3 April ini.

Rumah Gelongsor

Rumah Gelongsor Yang Paling Cool Didunia.

 
Bukan rumah ini yang menggelonsor tapi dalam rumah ini terdapat gelongsor yang menghubungkan setiap tingkat. Kalau anda di tingkat 3 dan rasa malas nak turun tangga, anda boleh gelongsor sahaja untuk ke tingkat 2.

Rumah yang direka oleh Japanese Studio LEVEL Architect ini terletak di Meguro-ku, Jepun dan berkeluasan 1762 kaki persegi.Berikut foto-foto rumah yang mempunyai gelongsor:







Ustaz Diminta Untuk Mengubati Anjing Sakit




Jacobusseorang kanak-kanak papua berusia 10 tahun telah berlari menemui seorang ustaz, iaitu Ust. Abdu L Wahab, orang Jawa yang telah lama berdakwah di Papua.

Jacobus meminta Ust. Abdu L wahab untuk mengubati anjingnya yang sakit. Ustaz Abdu tersenyum dan mengiyakannya. Mereka berdua menuju rumah Jacobus.
Melihat anjing tersebut sedang duduk menampak tak bermaya, Ust. Abdu mengarahkan telapak tangannya ke arah anjing dan berkata dalam logat khas Jawa:
“Su, asu… angger kowen arep mati ya mati, angger arep urip ya waras!! (Jing, anjing… kalau kamu mau mati ya mati saja, kalau mau hidup sembuhlah!!)
Jacobus yang tidak tahu dan mengerti bahasa Jawa berpikir Ust. Abdu berdoa menggunakan bahasa Arab. Diam-diam Jacobus menghafalkan kata-kata yang dia kira mantra atau do’a itu. Setelah itu Ust. Abdu pun pulang.
Beberapa hari kemudian, Jacobus lari-lari ke rumah Ust. Abdu bermaksud untuk melaporkan anjingnya sudah sembuh.

Tapi malangnya Ust. Abdu diberitahu sedang sakit. Jacobus terkejut, dan menuju ke bilik ust. Abdu lalu mengarahkan telapak tangannya ke muka Ust. Abdu sambil membaca mantra:
“Su, asu, angger kowen arep mati ya mati, angger arep urip ya waras”.
Ust. Abdu terkejut dan tertawa terus bangun dan diberitakan terus sembuh dari sakitnya.
Sumber : FP Kongkow Bareng Gus Dur

Kehidupan Nelayan Basikal Di Amsterdam


Kota Amsterdam terkenal dengan tiga perkara iaitu ganja, kawasan lampu merah dan basikal. Di dalam kota ini dianggarkan terdapat 2 Juta basikal yang digunakan penduduk untuk pergi dari titik A ke titik B. Negara Belanda adalah antara negara paling rata di dunia dan oleh sebab itu menggunakan basikal sejak kecil adalah perkara biasa. 

Pada waktu yang sama membuang basikal ke dalam terusan di Amsterdam juga sudah berlaku sejak sekian lama. Sekitar dekad 60an, pihak berkuasa tempatan Amsterdam menyedari semakin banyak basikal dibuang ke dalam terusan sehingga menyebabkan ia mencalarkan bahagian bawah bot. 

Maka bagi mengelakkan terusan dipenuhi basikal, kerja pembersihan dilakukan setiap hari. Tugas membersihkan terusan jatuh ke atas "nelayan basikal". Mereka akan berlayar di dalam bot yang dilengkapi penyangkuk besar yang memudahkan basikal dibawa keluar dari terusan. Setiap tahun sekitar 15000 basikal akan dibawa keluar dari terusan. Kesemua basikal yang "ditangkap" kemudian dikitar semula oleh pihak berkuasa tempatan. 




Sumber Pri.Org

Popular Posts